Mar 19, 2009

Kali Pertama Ke Medan, Indonesia

Antara percaya dengan tidak saya telah dipelawa oleh seorang kawan untuk "makan angin" di Medan. Memandangkan saya tidak pernah ke luar negara sejak sekian lama dan dengan hajat nak relax dari bebanan kerja maka saya terima pelawaan tersebut dengan perasaan yang sangat teruja. Maklumlah selama ni saya hanya mendengar cerita bahawa percutian ke Medan amat menyeronokkan dan sesiapa saja yang ke sana akan bershopping sakan.

HARI PERTAMA - 12 MAC 2009

Kami ke sana pada hari Khamis 12hb Mac dan balik pada hari Sabtu 14hb Mac 2009. Flight kami dari Bayan Lepas, P.Pinang ke Medan menaiki Air Asia berlepas pada jam 6.40 petang, lewat 30 minit daripada jadual asal penerbangan. Penerbangan ke Medan mengambil masa 40 minit sahaja. Semasa dalam flight bila tengok para stewardess bertugas teringat la pulak siri drama "Awan Dania".

Pesawat selamat mendarat pada jam 6.20 petang waktu Medan iaitu jam 7.20 malam waktu Malaysia. Ketibaan saya dan rakan disambut mesra oleh agen bernama Arman yang sedia menunggu untuk menjemput kami ke hotel penginapan. Arman dan Yusof (pemandu) membawa kami ke Restoran Simpang 3 untuk makan malam terlebih dulu. Aduhhhh terpesona sekali dengan keindahan hiasan dalaman restoran yang eksklusif (selama ini saya hanya nonton dalam drama2 tv aje).

Oleh kerana saya dan rakan kurang arif dengan menu citarasa tempatan maka kami serahkan kepada Arman untuk membuat pesanan...katanya yang biasa2 aja. Sekali lagi kami terpegun...jika tak silap saya antara 10-12 jenis masakan dihidangkan. Ada segalanya...ayam, daging, ikan, udang...salad dan goreng kangkung. Oleh kerana saya tak makan yang pedas maka pilihan saya adalah ikan bakar dan ayam goreng berempah. Rakan saya memuji2 masakan di restoran tu sedap2 belaka. Pencuci mulut pula adalah puding yang dingin...sedap! Hajat di hati nak ambik foto hidangan masakan dan hiasan dalaman restoran tapi rasa segan pulak pada Arman dan pelayan restoran dan mungkin perlu minta kebenaran terlebih dulu.

Jam 8.00 malam kami check-in di Hotel Danau Toba International. Bilik yang disediakan selesa dan menghadap ke kolam renang.

pemandangan ke luar tingkap menghadap kolam renang

tilamnya empuk bangat yaaaaa!

foto ini di ambil pada pagi Jumaat

HARI KE DUA - 13 MAC 2009

Selepas sarapan pada jam 8.00 pagi kami memulakan perjalanan ke Brastagi iaitu kira2 dua jam perjalanan ke kawasan pergunungan. Saya difahamkan suasana di Brastagi seolah-olah Cameron Highland di Malaysia. Cuaca yang cerah dan nyaman membolehkan kami menikmati pemandangan yang indah dengan kehijauan gunung, kebun sayur dan buah2an.

Sepanjang perjalanan berliku2 menuju ke puncak saya mendapati kehidupan penduduk tempatan masih mengamalkan cara tradisional dengan persekitaran yang kurang teratur. Yusof membawa kami singgah ke kolam air panas Alam Sibayak yang berdekatan dengan kawasan gunung berapi. Airnya menyegarkan tetapi dengan bau belerang yang agak kuat, mungkin kerana sumber air dari kawasan gunung berapi. Saya sempat merendamkan kaki sekejap...terasa selesa dan melegakan.

Hot Spring Alam Sibayak

salah sebuah kolam air panas

Jam 10.30 pagi kami sampai ke Brastagi yang terkenal dengan pasar buah2an dan sayur2an segar dan dijual pada harga yang murah. Antara hasil tempatan yang terkenal di sini ialah buah markisa dan pisang kaki. Selain itu ada juga dijual pelbagai hasil kraftangan dan cenderamata. Saya dan rakan hanya jalan2 saja...membuka minda memerhati kehidupan masyarakat setempat.

tumpang posing aje yeee...makan la lagi...

Jam 11.30 pagi kami bertolak balik dan sampai di Medan pada jam 1.30 tengahari. Singgah makan di Trans Minang Restoran, sebuah restoran baru yang selesa, bersih dan dihias indah. Menunya juga banyak...sama seperti di Restoran Simpang 3 semalam.

menu makan tengahari

Jam 2.30 petang setelah selesai makan kami dibawa ke kedai menjual batik dan telekung. Agaknya Yusof dah tau niat dan hajat kami nak jalan2 kat situ. Memang cantik2 semuanya, murah pun murah tapi masih kena pandai tawar menawar. Saya hanya beli ala kadar untuk diri sendiri, mak dan adik2...sebagai buah tangan dari Medan. Jam 4.00 petang balik ke hotel untuk istirehat...dan revise bajet ;)

Jam 8.00 malam kami dibawa ke Warung Burung Mbak Gita di Cemara, Sampali yang terkenal dengan menu masakan burung. Di depan warung tersebut pelbagai jenis burung dikurung di dalam sangkar khas. Pelanggan boleh memilih sendiri jenis burung untuk dimasak...konsep yang sama di restoran ikan bakar. Menu makan malam kami ialah goreng burung belibis, burung ruak2 dan burung ayam-ayaman. Setelah hampir 45 minit menunggu (perut dah mula menjerit2 lapar) maka terhidanglah panas2...

menu makan malam - burung ruak2

burung belibis dan ayam-ayaman

HARI TERAKHIR - 14 MAC 2009

Jam 8.00 pagi kami bersarapan di sebuah warung yang terkenal dengan soto. Memang ramai dan penuh sesak di dalam warung...pelanggan silih berganti. Pujian harus diberi kerana servis yang cepat dan cekap...kami baru je duduk di meja dah pun sampai pesanan. Menunya ialah nasi putih, sup daging/ayam berempah atau biasa mengikut citarasa, begedil, sambal dan keropok udang. Sebagai pencuci mulut samada pisang atau jeli. Semuanya selesai dalam masa tak sampai setengah jam. Kat sini tak sempat nak ambik foto menu sebab ramai orang dan sesak.

Jam 8.30 pagi terus ke kedai membuat kek lapis yang terunggul di Medan. Harus pergi awal pagi, jika tidak akan pulang dengan tangan kosong. Sesiapa yang ke Medan semestinya akan membeli kek lapis Zulaikha ni...sedap bangat. Dari situ kami ke Medan Mall untuk shopping lagi sebelum balik ke Malaysia petang nanti. Saya membeli set alas meja dan chair back untuk mak dan kain tudung untuk adik2.

Kami balik ke hotel untuk kemas barang dan check out pada jam 1.00 tengahari. Makan tengahari di Restoran Koki Sunda...enak sekali masakannya. Minuman yang saya order juga sedap dan menyejukkan tekak iaitu blended es (ais) kelapa mangga...

air kelapa + isi kelapa + buah mangga
nasi putih dihidang di atas daun pisang beralaskan lekar rotan

Jam 2.30 petang kami telah berada di Medan Polonia Airport...ucap terima kasih tidak terhingga kepada Arman dan Yusof yang setia berkhidmat dan melayan kami dengan mesra. Kami amat berpuashati dengan pakej yang disediakan dan rasa selamat sepanjang masa kami di Medan. Penerbangan balik kami pada jam 4.30 petang (waktu Medan) dan tiba di Bayan Lepas jam 6.15 petang (waktu Malaysia).

Sewaktu dalam penerbangan ke Medan saya adalah jutawan tetapi dalam penerbangan balik ke Malaysia saya hanyalah ribuwan. Baki wang yang telah ditukar sebelum ke Medan tinggal 320,00 rupiah iaitu lebih kurang RM100.00. Namun yang pasti jika ada rezeki dan kelapangan kami akan ke Medan lagi...



5 comments:

Tie said...

Wow....!

Seronok bila baca pengalaman kenari ni...rasa nak ikut sama laa...

Buah markisa tu macam mana, ya...?Kat malaysia ni tak pernah nampak pun...

kenari said...

Tie...mmg seronok pun jln2 kat sana tapi jika diminta mastautin kat sana terus enggak bisa ya. Hujan emas di negeri orang lebih baik hujan batu di negeri sendiri kan kan.

Pak Zawi said...

Kenari,
Lawatan Pak Zawi ke Medan dua tahun lepas juga menyeronokan cuma apabila tiba di LCCT KLIA saya dapati beg pakaian saya pecah di bucunya. Ini adalah gara gara kerana saya tak mahu ianya dibungkus sebelum check in di Polonia Airport Medan. Sekarang jika ditawarkan perkhidmatan ini saya akan balutnya kerana jika tak balut itu lah padahnya.

kenari said...

Pak Zawi, kadang2 kita nak berjimat tapi akhirnya kita kerugian dalam jumlah yg lebih drpd apa yg kita jimatkan. Di Airport Polonia mmg ada servis mengikat dan membungkus bagasi tapi sy tk ingat brp caj yg dikenakan.
p/s maaf lewat reply sbb sy ke KL menghadiri kursus sejak 23 mac.

mieka said...

boleh bgtau no contact agent yg anda tempah

Post a Comment