Jul 8, 2011

Pergi Untuk Selamanya...

Allahyarhamah Hajjah Che Wan binti Idris
27 April 1943 ~ 25 Jun 2011


Jumaat ~ 17 Jun 2011 ~ 4.30 pagi
Tiba-tiba emak diserang stroke, terus kami bawa emak ke Putra Medical Centre (PMC). Syukur alhamdulillah kami semua berlima beradik ada di rumah pada cuti hujung minggu itu. Emak dimasukkan ke ICU. Doktor kata CT scan menunjukkan massive hemorrhage, emak tak dapat menggerakkan anggota sebelah kanan badan. Doktor kata kebiasaannya pendarahan pada skala ini pesakit sama ada akan koma atau.....kehilangan nyawa. Syukur...syukur...syukur...emak masih bersama kami.

Sabtu ~ 18 Jun 2011
Masih di ICU. Keadaan emak stabil, masih boleh bertutur walaupun sedikit pelat, masih boleh makan dan minum walaupun dalam kuantiti yang sedikit, masih boleh bangun untuk duduk sekejap2, masih boleh menggeleng atau mengangguk, masih boleh tersenyum menyambut kedatangan sanak saudara yang datang melawat. Doktor yang merawat sangat kagum dengan semangat emak yang kuat. Kami semua turut merasakan kekuatan semangat emak meresap ke jiwa kami untuk berhadapan dengan apa saja kemungkinan.

Ahad ~ 19 Jun 2011 ~ 3.00 petang
Emak dipindahkan ke wad biasa. Syukur Alhamdulillah. Tekanan darah sedikit menurun. Glukos dalam darah juga terkawal. Doktor maklumkan emak perlu dalam pengawasan untuk tempoh beberapa hari lagi. Kami akur. Kami mahukan yang terbaik untuk emak. Kami mahu emak pulang ke rumah semula. Kami bersedia menjaga emak walau dalam apa keadaan sekali pun.

Isnin 20 Jun ~ Rabu 22 Jun 2011
Keadaan emak stabil walaupun semakin lemah. Tekanan darah kembali normal. Tetapi tahap glukos semakin tinggi. Sungguh merisaukan, walhal emak hanya makan roti bersama air milo atau bubur nasi bersama air zamzam, itupun sangat sedikit emak makan. Emak lebih banyak tidor saja.

Oleh kerana diabetes emak tidak stabil doktor melanjutkan tempoh pengawasan untuk beberapa hari lagi. Kami tahu ianya ada kaitan dengan fungsi buah pinggang emak. Sebenarnya sejak bulan Mac lagi doktor pakar di Hospital Sultanah Bahiyah menegaskan kemungkinan emak perlu memulakan rawatan haemodialisis dalam masa terdekat. Buah pinggang emak semakin lemah dan tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Dan apabila diserang stroke begini keadaan buah pinggang tentunya semakin merosot.

Khamis ~ 23 Jun 2011
Pagi ini emak nampak lebih segar, seperti ada kekuatan dan semangat baru. Hampir habis emak makan sekeping roti gardenia bersama air milo, biasanya emak makan separuh saja. Lepas sarapan emak tidor lagi, tenang dan nyenyak sekali. Waktu makan tengahari emak makan lebih banyak bubur nasi bersama sup ayam, lebih daripada hari2 sebelumnya. Emak boleh duduk dengan elok, mata memandang sekeliling seolah-olah baru sedar dimana dia berada selama ini. Kami merasa sangat lega dan gembira dengan perubahan positif ini. Lepas makan emak tidor lagi.

Selepas Maghrib keadaan emak berubah menjadi semakin lemah, tidak mahu membuka mata bila dikejutkan untuk makan malam. Emak terus lena hingga ke pagi.

Jumaat ~ 24 Jun 2011
Oleh kerana emak semakin lemah dan tidak memberi respon bila dipanggil, doktor membuat keputusan memasukkan tiub pemakanan supaya emak dapat diberi minum susu khas setiap 4 jam sekali bagi mengelakkan gastrik, yang mana akan memburukkan lagi keadaan emak.

Sabtu ~ 25 Jun 2011 ~ 10.00 pagi
Emak dimasukkan semula ke ICU. Ujian CT scan tidak menunjukkan banyak perubahan sejak seminggu lalu. Ujian darah menunjukkan tahap kreatinin melebihi bacaan 1000, pada hari pertama emak dimasukkan tahap kreatinin 535 sahaja. Doktor merumuskan kegagalan buah pinggang berfungsi telah menyebabkan keadaan emak semakin merosot dan kritikal.

Setelah berbincang, kami adik-beradik bersetuju supaya doktor memberikan segala rawatan yang terbaik untuk emak. Kami berserah dan tawakal kepada Allah. Kami serahkan segala kepakaran kepada team doktor. Kami semua telah bersedia dengan apa saja kemungkinan, doktor tidak memberikan sebarang jaminan, mereka tetap akan berusaha untuk selamatkan emak.

Sabtu ~ 25 Jun 2011 ~ 6.30 petang
Akhirnya.....emak pergi jua untuk selamanya meninggalkan kami. Kami semua ada disisinya ketika menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenang dan begitu mudah sekali. Syukur ya Allah.

Emak pernah berkata kepada saya, jika sekiranya ditakdirkan dia sakit biarlah sakitnya tidak lama. biarlah dia pergi dengan mudah. Dia tidak mahu menyusahkan anak2, masing2 dengan kerjaya dan keluarga sendiri. Sesungguhnya emak tidak pernah menyusahkan kami, malah kami lah yang banyak membuat emak susah hati.

Ahad ~ 26 Jun 2011 ~ 12.00 tengahari
Selesai sudah segala urusan pengkebumian. Syukur ya Allah segala urusan berjalan lancar dan dipermudahkan tanpa ada sebarang kekhilafan. Semoga roh bonda tenang di alam sana bersama ayahanda dan ditempatkan bersama-sama para solihin. Al-fatihah...

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kami yang tinggal masih dalam proses penyesuaian dengan ketiadaan emak di rumah, kesunyian malam tanpa kelibat emak, tanpa celoteh dan gelak tawa emak...




Kami kini yatim piatu....