Sepasang mata adalah organ penglihatan yang paling berharga bagi setiap makhluk yang bernyawa. Sepasang mata membolehkan kita melihat dan menjalani kehidupan seharian dengan sempurna.Sepasang mata menggambarkan perasaan sebenar seseorang samada ceria gembira, sedih pilu, gundah gulana dan sebagainya. Sepasang mata juga bisa meluahkan isi hati yang tersurat dan tersirat samada cinta, kasih sayang, kebencian, kemarahan atau ketakutan. Tidak perlu ungkapan kata-kata... hanya renungan sepasang mata menyatakan segalanya.
Bagi yang dilahirkan tanpa penglihatan, itu adalah ketentuan. Kehidupan ditempuhi dengan keyakinan diri dan keazaman yang jitu untuk berdiri sama tinggi duduk sama rendah sepertimana orang lain. Pernahkah kita terfikir sejenak seandainya kelebihan itu tidak dapat kita nikmati lagi. Jika hilang penglihatan kerana sesuatu penyakit atau kemalangan, bayangkanlah betapa traumanya proses menyesuaikan diri serta memujuk hati untuk menerima ketentuan itu.
Bersyukur kita dikurniakan kesempurnaan sepasang mata. Simpati pula kepada yang kurang bernasib baik.


